Perbincangan tentang isu dinar emas dan wang kertas memang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak kerana terdapat pelbagai hujah pro dan kontra dalam menilai mata wang sebenar umat manusia. Dinar emas menjadi isu penting dalam sistem kewangan hari ini apabila terdapat cadangan untuk mengembalikan penggunaannya setelah dunia dikejutkan dengan kejatuhan nilai mata wang negara-negara ASEAN pada tahun 1997. Tragedi ini telah membuka mata umat Islam untuk menilai semula sistem ekonomi dan kewangan yang sedia ada. Maka pada tahun 2001 bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat saranan untuk memartabatkan kembali dinar emas di mata dunia.
Sistem mata wang yang berlangsung sekarang adalah sistem apungan yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat. Pada Ogos 1971, Presiden richard Nixon telah memisahkan hubungan di antara emas dengan Dolar Amerika Syarikat kerana pada masa itu Amerika Syarikat memerlukan belanja yang banyak dan telah mencetak dolar melebihi simpanan emas untuk membiayai perang di Vietnam. Keputusan memisahkan dolar dengan emas diambil apabila terdapat banyak tuntutan daripada negara yang menyimpan dolar untuk mendapatkan emas melebihi jumlah emas dalam simpanan. Sistem pertukaran mata wang tanpa piawaian ini telah mengundang pelbagai masalah kepada sistem kewangan dunia seperti; ketidakstabilan nilai, riba, spekulasi, gharar, hutang dan tiada nilai intrinsik.
Apa yang tidak diketahui oleh masyarakat ialah betapa wang kertas yang kita gunakan sekarang ini sebenarnya hanya merupakan sekeping kertas semata-mata dan tidak bernilai jika dibandingkan dengan logam bernilai emas. Nilai emas ditetapkan berdasarkan permintaan terhadap logam ini. Nilainya boleh meningkat atau susut mengikut permintaan dunia dan permintaan dalam sesebuah negara, tetapi naik turunnya adalah kecil. Dinar emas diperbuat daripada emas yang akan dipengaruhi oleh harga emas. Harga emas tempatan akan menentukan kadar pertukaran bagi mata wang tempatan berbanding dengan dinar. Oleh yang demikian, harga barangan import dalam dinar boleh dikira dalam mata wang tempatan dan begitulah sebaliknya bagi barangan yang dieksport, dan sebarang penggunaan mata wang dinar tidak akan menggugat kestabilan ringgit.
Penggunaan dinar emas ini sudah pasti mampu menggantikan mata wang utama dunia iaitu Dolar Amerika Syarikat sekiranya seluruh umat Islam di dunia ini bersatu dan bersedia bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama. Penggunaan meluas dinar emas akan memberikan negara-negara Islam lebih kuasa untuk menguruskan hal ehwal mereka, malah mampu mempengaruhi dunia. Apa yang penting ialah negara-negara Islam perlu ada kemahuan dan bersedia untuk melakukannya. Jika tidak, ia tidak akan lebih daripada hanya membuat ucapan, mengadakan perbincangan yang panjang lebar dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment