BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, November 7, 2009

Cantik rupa atau cantik budi pekerti?



Ramai daripada kita menitikberatkan penjagaan kesihatan dan kecantikan. Maka, tidak hairanlah ramai juga yang membeli pelbagai produk-produk kesihatan dan kecantikan, bersenam di gim, menjaga rupa paras dan penampilan serta memilih makanan yang baik demi kesejahteraan diri. Semua ini tidak salah. Namun, berapa ramaikah di antara kita yang menitikberatkan kecantikan budi pekerti serta akhlak mulia? Nobody is perfect. Itulah yang sering diperkatakan apabila berhadapan dengan seorang yang cantik paras rupa tetapi buruk budi pekerti seperti suka mengumpat, mengadu domba, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. Sebaliknya, seorang yang hitam legam atau tidak cantik namun memiliki akhlak yang terpuji seperti baik hati, peramah, pemurah dan sebagainya akan disukai oleh orang ramai di sekelilingnya.

Oleh itu, kita seharusnya sentiasa berusaha untuk memperelok atau melengkapi tubuh yang sihat serta wajah yang cantik disulami dengan keindahan budi pekerti. Bermuka manis, suka membelanjakan harta kekayaan kerana Allah, tidak menyakiti hati orang lain adalah antara keindahan budi pekerti dan terasnya ialah akhlak terpuji. Di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perbaikilah budi pekerti kamu sekalian". Hadis ini secara tidak langsung menyatakan sifat dan budi pekerti seseorang mampu diperindahkan. Yang diperlukan ialah usaha untuk berlatih membersihkan diri dan mendidik budi pekerti.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya, dan menahan diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah menjadi tempat tinggalnya." (Surah An-Naazi'aat: 40 - 41). Dalam usaha melawan nafsu daripada menurut kata hati dan syahwat, seseorang perlu menepati janji atau keazamannya dan perkara ini menuntut keazaman dan kesabaran yang tinggi. Jika dia dapat membiasakan diri dengan budi pekerti yang mulia, lama kelamaan ia akan menjadi tabiat bagi dirinya.

0 comments: