Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada umatnya dengan dua perkara sahaja yang dengannya manusia tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Di dalam surah al-Baqarah juga ada menyebut bahawa al-Quran ini rahmat kepada sekalian alam. Bermakna, al-Quran yang diturunkan itu melengkapi naluri dan fitrah kejadian seluruh makhluk. Jika Islam itu ditegakkan dan al-Quran dituruti, maka bukan sekadar manusia beragama Islam, malah bukan Islam, tumbuhan, haiwan dan seluruh alam akan mendapat rahmatnya.
Bagaimana barat boleh maju? Jika kita lihat hari ini, sudah banyak unsur-unsur dan kandungan Islam itu dipraktikkan oleh orang bukan Islam sebagai contoh, sistem muamalat Islam atau sistem perbankan Islam. Mereka lebih terkehadapan daripada kita dalam mempraktikkan sistem perbankan Islam yang diambil daripada Al-Quran. Persoalannya, mengapa mereka berebut memilih sistem daripada al-Quran ini? Ini adalah diesebabkan terbuktinya sistem ini dalam memberi keadilan dan keuntungan yang jauh lebih baik berbanding sistem yang lain.
Dari segi sistem perundangan pula, seorang ketua paderi Kristian di United Kingdom pernah memberikan satu ucapan yang masyhur yang menyatakan bahawa sudah sampai masanya mereka melaksanakan sistem kekeluargaan Islam di negara tersebut bagi menyelesaikan permasalahan kekeluargaan yang berlaku. Tidak ada undang-undang lain di dunia ini yang lebih baik daripada undang-undang kekeluargaan Islam dalam menyelesaikan permasalahan berkait dengannya. Hal ini menimbulkan kejutan. Walaupun secara akidahnya mereka menolak Islam, namun apabila berlaku permasalahan yang tidak mampu mereka selesaikan seperti kegawatan ekonomi dan masalah kekeluargaan, mereka akan berbalik kepada Al-Quran.
Daripada unsur politik pula, barat telah lama mengkaji unsur-unsur politik al-Quran dan dijadikan sebahagian unsur-unsur demokrasi negara mereka. Larangan pemerintah secara kuku besi dan diktator dicedok daripada kisah Firaun yang dikutuk di dalam al-Quran, kewajipan pemerintah memmberi keadilan dan kebajikan kepada rakyat juga adalah inti pati al-Quran malah hak rakyat untuk menegur, mengkritik pimpinan negara termaktub di dalam al-Quran dan sirah Nabawiyah. Antaranya kisah Ibnu Munzir yang tidak bersetuju dengan Nabi Muhammad s.a.w. berkaitan perancangan tentera Islam untuk berkubu di belakang air menjadi tauladan kepada pemerintah di barat. Mereka melihat keterbukaan Nabi Muhammad menerima pandangan dan bantahan dalam hal tidak berkaitan dengan akidah.
Maka, tidak peliklah kenapa negara-negara Arab dan umat Islam keseluruhannya mundur ke belakang dan Barat maju ke depan. Ini kerana mereka mempraktikkan sebahagian besar kandungan al-Quran. Cuma mereka tidak menerima akidah al-Quran iaitu Islam. Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan inti pati al-Quran dan as-Sunnah dalam segala hal dan tidak mengambil barat sebagai contoh dalam kehidupan malah harus merujuk kepada kedua-dua sumber utama yang telah diwasiatkan oleh junjungan besar kita Muhammad s.a.w. sebagai panduan hidup dalam menghadapi sebarang permasalahan yang timbul.
1 comments:
alquran n sunnah perlu dipraktikkan dan ianya flexible utk digunakan utk dulu...kini dan selamanya.....
Post a Comment