BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, November 9, 2009

Bohsia dan Bohjan: Bagaimana penyelesaiannya?


Bohsia ialah istilah yang merujuk kepada satu gejala sosial yang membabitkan remaja perempuan yang bergaul dengan lelaki secara bebas. Bohjan pula ialah gelaran yang diberikan kepada remaja lelaki yang mengambil kesempatan menikmati seks secara percuma. Bohjan secara amnya terdiri dari remaja yang telah berhenti sekolah dan tamat sekolah sehingga SRP dan SPM sahaja. Mereka ini biasanya bekerja di warung-warung makan atau sebagai penghantar surat. Terdapat juga bohjan yang tidak bekerja atau masih bersekolah tetapi mempunyai wang kerana keluarga mereka daripada golongan berada. Rata-rata gadis bohsia berumur antara 13 hingga 18 tahun. Kebanyakan pasangan gadis bohsia ini terdiri daripada bohjan yang berusia antara 18 hingga 22 tahun. Kumpulan remaja yang terbabit dengan kegiatan bohsia ini merangkumi murid sekolah tetapi tidak berminat untuk belajar, gadis yang berhenti sekolah dan gadis remaja yang terdedah dengan pergaulan bebas.

Kebanyakan mereka ini mengakui gagal dalam pelajaran sama ada Sijil Rendah Pelajaran (SRP)atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Terdapat di kalangan gadis ni yang bekerja. Biasanya mereka ini menjadi jurujual di kedai makanan segera dan kompleks membeli-belah. Sebuah akhbar melaporkan terdapat bukti menunjukkan ada gadis bohsia ini menjadi pelacur sambilan dan pelayan tetamu (GRO). Mereka terbabit menjadi pelacur sambilan apabila mengetahui kegiatan ini lebih menguntungkan daripada mengadakan hubungan seks secara percuma dengan teman lelaki. Gadis bohsia umumnya tinggal dengan keluarga. Bagaimana terdapat mereka ini yang lari dari rumah dan tinggal bersama dengan rakan-rakan. Juga ada ada diantara gadis bohsia ini yang tinggal bersekedudukan dengan teman lelaki. Bohjan pula biasanya duduk menyewa bersama dengan rakan-rakan.Bagaimanapun terdapat juga bohjan yang tinggal dengan ibu bapa. Golongan bohsia berasal dari pelbagai lapisan masyarakat iaitu golongan mewah, sederhana dan miskin. Bohsia atau bohjan daripada golongan mewah dan sederhana terlibat dengan kegiatan ini berpunca daripada salahguna kebebasan yang diberikan oleh keluarga mereka. Penglibatan mereka ini bukan untuk mendapatkan kemewahan tetapi untk memenuhi rangsangan akibat pergaulan bebas dengan teman mereka. Semantara itu gadis golongan bawahan terlibat dengan bohsia atas sebab keadaan persekitaran keluarga yang kurang memberi keselesaan kepada mereka. Golongan bohsia yang tinggal bersama rakan dan terlibat dalam gejala ini adalah untuk mendapatkan "perlindungan makanan dan tempat tinggal" daripada pasangan mereka.

Persoalan di sini ialah bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Jika ditanya tentang siapa yang patut dipersalahkan, sudah tentu ramai yang menuding jari menyalahkan pelbagai pihak tetapi tidak mengkoreksi diri sendiri di manakah peranan kita dalam membendung masalah seperti ini? Saling menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Oleh itu, marilah kita mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya dan mengurangkan perbalahan yang mungkin berlaku sekiranya kita masih mencari siapa salah dalam perkara ini.

Latar belakang agama yang lemah menyebabkan remaja bohsia/bohjan terlibat dengan gejala ini. Agama mengajar individu mengenai tanggungjawab. Mengenai nilai hidup yang mulia.Mengenai dosa dan pahala,dan mengenai syurga dan neraka. Ia menjadi benteng kukuh yang dapat menghindar diri remaja daripada tingkahlaku yang bertentangan dengan agama dan norma masyarakat. Jelas disini remaja yang berkaitan tidak mempunyai kekuatan dalaman yang dapat menentang pengaruh luar yang mendorong mereka untuk terjebak dalam gejala sosial. Remaja yamg terbabit, berhijrah ke bandar dan tinggal bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya. Kecetekan akal kerana umur yang muda dan ditambah dengan pendidikan agama yang lemah menyebabkan mereka lebih banyak bertindak mengikut hati dan perasaan dan bukan mengikut pertimbangan akal yang waras. Ketiadaan ibu bapa dan ahli masyarakat kampung yang selama ini adalah "pengawal" bagi mereka, memberikan mereka satu bentuk kebebasan untuk lebih mudah mengikut telunjuk hati dan perasaan. Ini ditambah pula dengan pelbagai daya tarikan yang wujud di bandar yang menjanjikan keseronokan sepanjang masa.

Oleh itu, kita haruslah menggunakan pendekatan yang penuh berhikmah dan mengajak mereka untuk menghayati ajaran agama Islam yang syumul sebagai jalan hidup yang sebenarnya. Agama ialah faktor penting ke arah memupuk nilai murni serta kerohanian peribadi seseorang. Agama mengajar kita mengenai pencipta dan hubungan kita denganNya, mengenai kejadian dan hubungan kia dengan alam dan makhluk Allah yang lain, mengenai tanggungjawab, mengenai dosa dan pahala, mengenai syurga dan neraka dan sebagainya. Selain itu, agama juga menerangkan kepada kita mengenai nilai hidup yang mulia, mengenai apa yang harus dilakukan demi untuk mencapai kebahagian dan kejayaan di dunia dan akhirat. Selain itu, komunikasi yang berkesan mampu mempereratkan hubungan ibu bapa dengan anak. Tanpa hubungan komunikasi yang efektif ini, anak akan merasakan dirinya tidak diberi perhatian, diperlukan, dan disayangi. Anak akan cuba memenuhi keperluan ini daripada sumber lain. Anak-anak remaja perlu melahirkan perasaan, rasa kegelisahan, dan masalah yang dihadapi tanpa rasa bimbang. Suasana yang selesa ini hanya wujud sekiranya terdapat hubungan komunikasi yang terbuka dengan anak-anak. Hubungan komunikasi yang terbuka ini bercirikan oleh kesedian ibu bapa mendengar masalah dan menghormati pendapat anak. Bagaimanapun ini tidak bererti ibu bapa perlu menyetujui segala pandangan anak. Komunikasi merupakan proses dua hala. Ibu bapa bercakap dengan anak untuk mengetahui masalah anak, dan juga untuk menunjukkan minat ibu bapa terhadap aktiviti anak. Anak pula akan menceritakan tentang aktiviti, rancangan, dan masalah yang dihadapi jika ada. Melalui komunikasi ini, ibu bapa boleh membantu anak untuk meneliti masalah yang wujud, mencadangkan cara mengatasi, dan memberi sokongan moral kepada anak semasa anak cuba mengatasi masalah tersebut.

Kasih sayang sebagai keperluan asas anak, dan ibu bapa berperanan penting untuk memenuhi keperluan ini, Umumnya ibu bapa memberikan kasih sayang terhadap anak-anak. Apa yang menimbulkan masalah ialah tanpa disedari oleh ibu bapa terdapat mesej kasih sayang yang tidak diterima atau dirasakan oleh anak-anak. Apa yang dirasakan oleh anak adalah lebih penting daripada apa yang dirasakan oleh ibu bapa walaupun ibu bapa merasakan telah memberikan kasih sayang yang diperlukan oleh anak.

Ibu bapa berperanan membimbing anak agar memiliki ciri-ciri peribadi yang positif yang dapat membantu anak menjalani kehidupan yang sempurna apabila mencapai peringkat remaja dan dewasa. Antara ciri peribadi tersebut ialah sikap menghormati diri, berfikir, ketegasan diri, dan bertanggungjawab.

Model rol adalah penting dalam pembentukan nilai seseorang individu. Jesteru itu, sekiranya ibu bapa inginkan anaknya mengamalkan nilai tertentu. maka ibu bapa perlulah menjelaskan nilai berkenaan kepada anak dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Pengucapan kata-kata sahaja tanpa disertakan dengan amalan terhadap kata-kata tersebut adalah tidak memadai. Model tingkah laku positif yang perlu ditunjukkan oleh ibu bapa tidak sahaja meliputi tingkah laku yang mempunyai kaitan langsung dengan dengan gejala anti-sosial tanpa merangkumi tingkah laku positif yang lain. Contohnya, amalan sikap jujur dan bertanggungjawab akan menimbulkan reaksi hormat dan taat anak terhadap ibu bapa. Perasaan hormat dan taat ini membantu ibu bapa menguatkuasakan peraturan keluarga ke atas anak.

Suasana rumahtangga perlulah merupakan suasana yang boleh mengalakkan anak untuk bersama keluarga. Ini kerana anak bukan sahaja memerlukan keperluan fizikal tetapi juga keperluan lain yang dapat menarik minatnya kepada keluarga. Suasana rumahtangga yang kucar-kacir boleh menimbulkan perasaan tidak selamat dan tidak tenteram di dalam jiwa anak-anak. Penceraian ibu bapa umpamanya menyebabkan perpisahan hubungan ibu bapa dengan anak yang kemudiannya mengakibatkan kekusutan emosi, keadaan rendah diri ,dan tidak mempunyai tempat pergantungan yang menyakinkan ke atas anak yang terlibat. Keadaan ini boleh mendorong anak lari dari rumah untuk mendapatkan kedamaian dan ketenangan jiwa.

Sebat : Perlaksanaan syariah yang cuba disekat?


Kartika Sari Dewi, 32, dari Kem Lang Buana, Kg. Jawang, Karai merupakan wanita pertama yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah yang tidak membuat rayuan malah meminta untuk dijalankan hukuman di khalayak ramai gara-gara telah meminum arak. Malah Kartika sendiri sedar akan kesalahannya dan akur akan hukuman yang dikenakan kepadanya dan memberitahu bahawa hukuman itu sebenarnya bukan untuk menghukum tetapi memberi pengajaran. Sebab itulah dia berkeras meminta ianya dilakukan di khalayak ramai kerana ini adalah kes sebat pertama yang melibatkan wanita. Namun begitu, kenapakah perlaksanaan syariah ini mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak?

Sebat dalam perkara hudud adalah seksaan yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah S.W.T. manakala sebat dalam masalah takzir pula adalah kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada seksaan-seksaan takzir, selain daripada seksaan hudu, qias, diat dan kaffarah. Takzir bererti dera yang menjadi pengajaran. Jenis kesalahan hudud yang memerlukan hukuman sebat pula adalah zina (Surah an-Nur, ayat 2), qazaf (Surah an-Nur, ayat 4) dan juga minum arak (Surah al-Maidah, ayat 90). Allah S.W.T. berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya". Sabda Nabi s.a.w.: "Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua jenis arak hukumnya adalah haram. (HR Bukhari dan Muslim). Daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. menghukum peminum arak 40 kali sebat dengan pelepah tamar dan sepatu".

Apa yang berlaku ialah masyarakat tiada maklumat mengenai hukuman sebat yang akan dijalani oleh Kartika. Menurut pensyarah di Jabatan Syariah, Dr. Hashim Mehat, persepsi masyarakat di negara ini telah membayangkan tubuh Kartika pastinya akan cedera dan kulitnya akan tersiat akibat daripada hukuman sebat yang akan ditanggung olehnya lebih-lebih lagi sebagai wanita. Beliau menyatakan bahawa sebat syariah tujuannya bukan untuk mencederakan tetapi tujuan utama ialah untuk memberikan kesedaran dan rasa malu akibat daripada perbuatan melanggar syariat Allah. Rasa malu itu pula pastinya akan mencetuskan kesedaran untuk tidak mengulangi perbutan tersebut atau melakukan apa sahaja perbutatan yang dilarang oleh Islam dan kerana itu jugalah, maka Islam menyarankan supaya ia diadakan di khalayak ramai. Bukan untuk keseronokan menontonnya tetapi mesej yang hendak dibawa ialah mendatangkan kesedaran dan malu. Manakala bagi yang melihatnya juga akan timbul kesedaran. Hukuman sebat ini juga bertujuan untuk membersihkan masyarakat daripada perbuatan keji sekali gus menjadi contoh untuk masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Penggunaan Dinar Emas di Malaysia

Perbincangan tentang isu dinar emas dan wang kertas memang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak kerana terdapat pelbagai hujah pro dan kontra dalam menilai mata wang sebenar umat manusia. Dinar emas menjadi isu penting dalam sistem kewangan hari ini apabila terdapat cadangan untuk mengembalikan penggunaannya setelah dunia dikejutkan dengan kejatuhan nilai mata wang negara-negara ASEAN pada tahun 1997. Tragedi ini telah membuka mata umat Islam untuk menilai semula sistem ekonomi dan kewangan yang sedia ada. Maka pada tahun 2001 bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat saranan untuk memartabatkan kembali dinar emas di mata dunia.

Sistem mata wang yang berlangsung sekarang adalah sistem apungan yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat. Pada Ogos 1971, Presiden richard Nixon telah memisahkan hubungan di antara emas dengan Dolar Amerika Syarikat kerana pada masa itu Amerika Syarikat memerlukan belanja yang banyak dan telah mencetak dolar melebihi simpanan emas untuk membiayai perang di Vietnam. Keputusan memisahkan dolar dengan emas diambil apabila terdapat banyak tuntutan daripada negara yang menyimpan dolar untuk mendapatkan emas melebihi jumlah emas dalam simpanan. Sistem pertukaran mata wang tanpa piawaian ini telah mengundang pelbagai masalah kepada sistem kewangan dunia seperti; ketidakstabilan nilai, riba, spekulasi, gharar, hutang dan tiada nilai intrinsik.

Apa yang tidak diketahui oleh masyarakat ialah betapa wang kertas yang kita gunakan sekarang ini sebenarnya hanya merupakan sekeping kertas semata-mata dan tidak bernilai jika dibandingkan dengan logam bernilai emas. Nilai emas ditetapkan berdasarkan permintaan terhadap logam ini. Nilainya boleh meningkat atau susut mengikut permintaan dunia dan permintaan dalam sesebuah negara, tetapi naik turunnya adalah kecil. Dinar emas diperbuat daripada emas yang akan dipengaruhi oleh harga emas. Harga emas tempatan akan menentukan kadar pertukaran bagi mata wang tempatan berbanding dengan dinar. Oleh yang demikian, harga barangan import dalam dinar boleh dikira dalam mata wang tempatan dan begitulah sebaliknya bagi barangan yang dieksport, dan sebarang penggunaan mata wang dinar tidak akan menggugat kestabilan ringgit.

Penggunaan dinar emas ini sudah pasti mampu menggantikan mata wang utama dunia iaitu Dolar Amerika Syarikat sekiranya seluruh umat Islam di dunia ini bersatu dan bersedia bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama. Penggunaan meluas dinar emas akan memberikan negara-negara Islam lebih kuasa untuk menguruskan hal ehwal mereka, malah mampu mempengaruhi dunia. Apa yang penting ialah negara-negara Islam perlu ada kemahuan dan bersedia untuk melakukannya. Jika tidak, ia tidak akan lebih daripada hanya membuat ucapan, mengadakan perbincangan yang panjang lebar dan sebagainya.

Sunday, November 8, 2009

21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh


Salah satu perkara penting yang diremehkan saat ini oleh umat Islam adalah solat Subuh secara berjemaah di masjid. Sungguh jelas, sejarah telah mencatatkan adanya kepincangan semangat beribadah antara umat Islam masa kini dan generasi Islam masa lalu. Sebagai contoh bukti pernyataan di atas, Imam malik di dalam kitabnya Al-Muwathta' menyebut bahawa suatau malam 'Umar bin al-Khattab terkena tikaman pedang yang mematikannya. Beliau mengalami luka parah dan mengerang kesakitan. Beliau telah dibangunkan ketika waktu Subuh, malah lukanya seakan tiada dan sakitnya seakan sudah sembuh. Dengan penuh bersemangat beliau segera bangun dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid. Subhanallah! Padahal lukanya masih mengalir darah kesan daripada tikaman tersebut.

Di zaman Nabi, mengerjakan solat Subuh juga dilihat menjadi alat pengukur kemunafikan seseorang. Sudah kerap dipastikan, jika ada seseorang yang tidak pernah kelihatan dalam solat Subuh berjemaah, maka dia boleh dituduh sebagai orang munafik. Nabi s.a.w. bersabda: "Pembatas antara kita dengan orang-orang munafik adalah menghadiri solat Isyak dan Subuh, kerana orang-orang munafik tidak sanggup menghadiri kedua solat tersebut" (HR Muwaththa' Imam Malik). Dalam riwayat yang lain, baginda s.a.w. bersabda: "Solat terberat bagi orang-orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Padahal jika mereka mengetahui pahala yang ada di dalam kedua solat tersebut tentu mereka akan mendatanginya walaupun harus dengan merangkak" (HR Ahmad dalam Musnad: XXV/424).

Kita patut mengkritik diri sendiri tatkala kita masih merasa berat untuk bangun menunaikan solat Subuh di masjid, maka kita mesti mendesak diri kita. "Apakah aku termasuk orang-orang munafik atau terdapat tanda-tanda kemunafikan dalam diri ini?" Na'uzubillahi min zaalik! Cuba bayangkan, jika sebelum waktu Subuh, terjadi kebakaran di rumah dan ahli keluarga anda berteriak, "Api..., api...!!" Sudah tentu anda dengan serta merta bangkit untuk memadamkian api dari terus merebak. Namun, mengapa kita tidak bergegas bangun untuk menunaikan solat Subuh? Padahal api neraka di akhirat lebih panas jika dibandingkan dengan api dunia. Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dan cuba 21 tip di bawah bagi yang sukar untuk solat subuh.

1. Tidur lebih awal
2. Bersungguh-sungguh dalam bersuci dan berzikir sebelum tidur.
3. Tekad untuk bangun solat Subuh.
4. Berzikir kepada Allah S.W.T ketika bangun.
5. Minta bantuan keluarga atau orang-orang soleh untuk bangun solat.
6. Berdoa kepada Allah S.W.T. agar diberi taufik untuk bangun solat.
7. Menggunakan saranan-saranan peringatan.
8. Memercikkan air di wajah orang yang tidur.
9. Tidak tidur sendirian.
10. Tidak tidur di tempat yang jauh daripada orang lain.
11. Keinginan yang kuat untuk bangun dan jangan bangun secara bertahap.
12. Jangan kunci jam loceng terlalu jauh daripada waktu solat Subuh.
13. Menyalakan lampu di saat bangun.
14. Tidak berjaga malam terlalu lama.
15. Tidak memperbanyakkan makan sebelum tidur.
16. Jangan salah menerapkan sunnah berbaring setelah solat sunat Fajar.
17. Mengerjakan qiyamullail di waktu terakhir sebelum Subuh.
18. Mengikut petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. dalam cara berbaring saat tidur.
19. Tidur di siang hari (Qailulah)
20. Jangan tidur sesudah asar dan sesudah maghrib.
21. Ikhlas kerana Allah S.W.T.

Semoga dengan tip-tip itu tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua serta memelihara diri daripada tergolong dalam kalangan orang-orang munafik.

Pakai Tudung Tapi Nampak Aurat


Wanita dan fesyen adalah satu perkara yang berjalan seiring dewasa ini. Umumnya, sememangnya wanita memang sukakan kecantikan dan gemar memakai pakaian mengikut fesyen yang diminati masing-masing. Begitu juga dengan wanita Islam. Ada yang memakai tudung mengikut perkembangan fesyen semasa tetapi tidak mengenakan pakaian menutup aurat dalam ertikata yang sebenar. Mereka bertudung tetapi memakai pakaian yang menampakkan bentuk paras badan malah ada yang memakai tudung tetapi bahagian dada dan kaki terdedah (dengan memakai skirt terbelah). Pemakaian tudung merupakan salah satu perintah Allah yang wajib kita turuti seperti yang diturunkan di dalam al-Quran dari surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan laki-laki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung".

Ayat di atas secara terangnya telah mengajar wanita Islam agar menjaga pandangan, memelihara kemaluan mereka serta memakai tudung dengan menutup paras dada dan tidak menampakkan perhiasannya kepada para ajnabi. Namun, apa yang menjadi persoalan di sini adalah wanita Islam memakai tudung tetapi masih menampakkan perhiasannya dengan pakaian yang dikategorikan oleh Islam sebagai tidak menutup aurat. Apabila ditanya, masing-masing memberi sebab yang tersendiri. Ada yang baru nak berjinak-jinak nak memakai tudung, ada yang mengikut trend fesyen terkini seperti artis dan saja suka-suka. Bagi yang baru berjinak-jinak nak pakai tudung tu, syukur alhamdulillah dan diharap mereka akan mengubah trend pemakaian yang menampakkan susuk tubuh wanita yang sememangnya menggiurkan di mata lelaki. Dengan terdedahnya aurat wanita akan mengundang pelbagai dosa seperti dosa mengumpat, dosa tidak menutup aurat dan sebagainya.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah benar-benar menghayati ajaran Islam menurut acuannya yang sebenar serta menunjukkan perbezaan cara pemakaian menurut Islam. Mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa beribadat kepadanya, tidak tinggal solat serta menjaga solat insyaAllah akan dapat menjaga diri kita daripada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya kita lakukan di samping sentiasa berdoa agar Allah berikan kita hidayah dan petunjuk agar tidak terjebak dalam perkara-perkara maksiat yang ada di sekeliling kita.

Barat Maju Kerana Menurut Al-Quran


Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada umatnya dengan dua perkara sahaja yang dengannya manusia tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Di dalam surah al-Baqarah juga ada menyebut bahawa al-Quran ini rahmat kepada sekalian alam. Bermakna, al-Quran yang diturunkan itu melengkapi naluri dan fitrah kejadian seluruh makhluk. Jika Islam itu ditegakkan dan al-Quran dituruti, maka bukan sekadar manusia beragama Islam, malah bukan Islam, tumbuhan, haiwan dan seluruh alam akan mendapat rahmatnya.

Bagaimana barat boleh maju? Jika kita lihat hari ini, sudah banyak unsur-unsur dan kandungan Islam itu dipraktikkan oleh orang bukan Islam sebagai contoh, sistem muamalat Islam atau sistem perbankan Islam. Mereka lebih terkehadapan daripada kita dalam mempraktikkan sistem perbankan Islam yang diambil daripada Al-Quran. Persoalannya, mengapa mereka berebut memilih sistem daripada al-Quran ini? Ini adalah diesebabkan terbuktinya sistem ini dalam memberi keadilan dan keuntungan yang jauh lebih baik berbanding sistem yang lain.

Dari segi sistem perundangan pula, seorang ketua paderi Kristian di United Kingdom pernah memberikan satu ucapan yang masyhur yang menyatakan bahawa sudah sampai masanya mereka melaksanakan sistem kekeluargaan Islam di negara tersebut bagi menyelesaikan permasalahan kekeluargaan yang berlaku. Tidak ada undang-undang lain di dunia ini yang lebih baik daripada undang-undang kekeluargaan Islam dalam menyelesaikan permasalahan berkait dengannya. Hal ini menimbulkan kejutan. Walaupun secara akidahnya mereka menolak Islam, namun apabila berlaku permasalahan yang tidak mampu mereka selesaikan seperti kegawatan ekonomi dan masalah kekeluargaan, mereka akan berbalik kepada Al-Quran.

Daripada unsur politik pula, barat telah lama mengkaji unsur-unsur politik al-Quran dan dijadikan sebahagian unsur-unsur demokrasi negara mereka. Larangan pemerintah secara kuku besi dan diktator dicedok daripada kisah Firaun yang dikutuk di dalam al-Quran, kewajipan pemerintah memmberi keadilan dan kebajikan kepada rakyat juga adalah inti pati al-Quran malah hak rakyat untuk menegur, mengkritik pimpinan negara termaktub di dalam al-Quran dan sirah Nabawiyah. Antaranya kisah Ibnu Munzir yang tidak bersetuju dengan Nabi Muhammad s.a.w. berkaitan perancangan tentera Islam untuk berkubu di belakang air menjadi tauladan kepada pemerintah di barat. Mereka melihat keterbukaan Nabi Muhammad menerima pandangan dan bantahan dalam hal tidak berkaitan dengan akidah.

Maka, tidak peliklah kenapa negara-negara Arab dan umat Islam keseluruhannya mundur ke belakang dan Barat maju ke depan. Ini kerana mereka mempraktikkan sebahagian besar kandungan al-Quran. Cuma mereka tidak menerima akidah al-Quran iaitu Islam. Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan inti pati al-Quran dan as-Sunnah dalam segala hal dan tidak mengambil barat sebagai contoh dalam kehidupan malah harus merujuk kepada kedua-dua sumber utama yang telah diwasiatkan oleh junjungan besar kita Muhammad s.a.w. sebagai panduan hidup dalam menghadapi sebarang permasalahan yang timbul.

Saturday, November 7, 2009

Cantik rupa atau cantik budi pekerti?



Ramai daripada kita menitikberatkan penjagaan kesihatan dan kecantikan. Maka, tidak hairanlah ramai juga yang membeli pelbagai produk-produk kesihatan dan kecantikan, bersenam di gim, menjaga rupa paras dan penampilan serta memilih makanan yang baik demi kesejahteraan diri. Semua ini tidak salah. Namun, berapa ramaikah di antara kita yang menitikberatkan kecantikan budi pekerti serta akhlak mulia? Nobody is perfect. Itulah yang sering diperkatakan apabila berhadapan dengan seorang yang cantik paras rupa tetapi buruk budi pekerti seperti suka mengumpat, mengadu domba, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. Sebaliknya, seorang yang hitam legam atau tidak cantik namun memiliki akhlak yang terpuji seperti baik hati, peramah, pemurah dan sebagainya akan disukai oleh orang ramai di sekelilingnya.

Oleh itu, kita seharusnya sentiasa berusaha untuk memperelok atau melengkapi tubuh yang sihat serta wajah yang cantik disulami dengan keindahan budi pekerti. Bermuka manis, suka membelanjakan harta kekayaan kerana Allah, tidak menyakiti hati orang lain adalah antara keindahan budi pekerti dan terasnya ialah akhlak terpuji. Di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perbaikilah budi pekerti kamu sekalian". Hadis ini secara tidak langsung menyatakan sifat dan budi pekerti seseorang mampu diperindahkan. Yang diperlukan ialah usaha untuk berlatih membersihkan diri dan mendidik budi pekerti.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya, dan menahan diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah menjadi tempat tinggalnya." (Surah An-Naazi'aat: 40 - 41). Dalam usaha melawan nafsu daripada menurut kata hati dan syahwat, seseorang perlu menepati janji atau keazamannya dan perkara ini menuntut keazaman dan kesabaran yang tinggi. Jika dia dapat membiasakan diri dengan budi pekerti yang mulia, lama kelamaan ia akan menjadi tabiat bagi dirinya.

Tuesday, October 20, 2009

Manifestasi dan Cabaran Politik Islam



Konsep politik dalam Islam sering dimanifestasikan dengan sikap tertutup dan pandangan yang amat kasar sekali sehingga menjerumuskan bahawa pelaku-pelaku politik dengan keganasan, ortodoks dan ektremis. Pola kelakuan itulah akhirnya menyebabkan wajah politik Islam diukur dengan bilangan keganasan, permusuhan dan perseteruan ideologi.

Di tengah-tengah kekalutan itu, Gordon P. Means seorang profesor emeritus sains politik Universiti MacMaster, Amerika Syarikat ingin membuktikan bahawa politik Islam tidak seharusnya dikaburi oleh pandangan-pandangan yang skeptik yang sengaja dilakukan seolah-olah menggambarkan bahawa Islam itu tatacara kehidupan itu menganjurkan kepada perlakuan ganas.

Beliau yang pernah berada di Malaya pada tahun 1954, menggambarkan bahawa “sebelum pilihan raya pertama, parti-parti politik diasaskan hanyalah sebagai tujuan memenuhi keperluan pemimpin-pemimpin bergiat dalam politik.” Namun setelah mengalami proses yang panjang, bergaul dan mengenali lebih dekat dengan penduduk setempat, akhirnya beliau menyedari bahawa pemimpin-pemimpin politik Melayu mampu berbincang dan menganalisis isu-isu politik dengan kaedah yang rasional,rational calculus.

Pada tahun 1962 di hantar oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai profesor pelawat Smith –Mundt di Universiti Malaya. Jangkaannya ialah membantu bagi membangunkan pengajian dasar-dasar awam dan dilantik sebagai Senat Universiti. Ketika itu, Tanah Melayu sedang dalam proses menilai pilihan politik pembentuk Persekutuan Malaysia dan pada tahun 1970-an, beliau mula menyedari dengan kemasukan para pelajar Melayu luar bandar ke pusat-pusat pengajian tinggi awam menjadikan minat penyertaan pelajar dalam politik, peningkatan penggunaan bahasa Melayu, amalan-amalan budaya dan latar belakang pendidikan asal telah menambahkan lagi rencah politik negara.

Perkembangan tersebut menyebabkan Gordon P. Means mula menyedari bahawa politik Islam akan terus mewarnai politik masa depan Asia Tenggara. Berdasarkan pengalaman berada di Malaysia dan mengadakan kajian-kajian berkaitan tingkahlaku politik di beberapa buah negara Asia Tenggara, beliau akhirnya berjaya menulis sebuah buku yang cuba meninjau kesan dan cabaran mengenai politik Islam dalam perpsektif yang lebih luas.

http://islamhadhari.net/?p=3516

Petua Rasulullah Membina Keluarga Bahagia






Banyak sunnah Rasulullah saw yang boleh dilakukan oleh suami isteri. Antaranya pasangan suami isteri digalakkan mandi bersama- sama. Untuk menambahkan kemesraan maka salinglah memandikan.Begitu juga isteri yangberada dalam keadaan lemah seperti dalam pantang selepas bersalin alangkah bahagianya jika dapat dimandikan oleh suami. Walaupun perkara ini ringan tetapi ia perlu diwujudkan supaya kasih sayang berkekalan.

Dari Aisyah ra,"Aku berulangkali mandi bersama Rasulullah dari satu bajana. Tidak lebih daripada aku menuangkan air tiga kali tuang di atas kepala aku."Selain mandi bersama, suami isteri juga digalakkan membersihkan diri bersama2 termasuklah mencukur bulu ari2, menggunting misai dan memotong kuku bersama2.

Membelai antara satu sama lain

Setelah beberapa tahun berada di alam perkahwinan jarang suami isteri yang suka pandang memandang. Sedangkan sebelum berkahwin dahulu pandang memandanglah yang menambat rasa cinta mereka. Rasulullah saw bersabda:

"Sesungguhnya seorang lelaki jika melihat kepada isterinya dan isterinya juga membalas pandang kepadanya, maka ALLAH telah melihat mereka berdua dengan pandangan rahmat. Jika seorang lelaki memegang tapak tangan isterinya, maka gugurlah semua dosa mereka berdua dari celah2 jari mereka berdua" (Riwayat Tarmizi) Suap-menyuap juga membawa kesan romantis jika dipraktikkan dalam hubungan suami isteri.Namun semuanya ini makin dilupakan bila jejak ke alam rumahtangga. Perkara2 yang tidak bersalahan dengan syarak tidak salah diamalkan jika ia membawa kebahgiaan. Antara lain yang boleh dilakukan bersama oelh suami isteri - menyikat rambut suami atau isteri. Dari Aisyah ra berkata "Pernah aku menyikat rambut Rasulullah saw." Ucapan manja, lemah lembut diiringi dengan ciuman. Sabda Rasulullah saw:"Hendaklah ia mendahului dengan lemah lembut dengan kata-kata dan ciuman."

Bersukan

Bersukan juga elok dilakukan bersama-sama keluarga. Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersukan. Rasulullah saw sendiri pernah berlumba lari dengan Aisyah. Jika tidak mampu melakukannya diluar rumah, cukuplah melakukan senaman ringan di dalam rumah untuk beberapa minit.

Itu sudah memadai sebagai ubat untuk melegakan ketegangan dalam rumahtangga. Fikiran yang cergas berpunca dari badan yang sihat.Terlalu banyak ibadah yang boleh dilakukan bersama oleh suami isteri. Contohilah rumahtangga Rasulullah saw. Sesungguhnya apa yang iamalkan oleh Rasulullah saw dalam rumahtangganya itu merupakan jaminan kebahagiaan.


http://www.tentangcinta.com/forum/showthread.php?t=2125



Monday, October 19, 2009

Kongsi Raya : Boleh atau tidak?



Sejak beberapa tahun yang lepas, hari-hari perayaan beberapa penganut agama di Malaysia telah jatuh pada tarikh yang sama atau hampir sama. Dari sinilah bermulanya idea ‘kongsi raya’ yang sebelum ini tidak pernah muncul atau diperbincangkan. Dan tahun ini, sekali lagi, dua perayaan masyarakat Malaysia jatuh pada waktu yang hampir sama. Umat Islam menyambut Hari Raya Eidul Fitri dan masyarakat Hindu pula menyambut Perayaan Deepavali. Dua tahun lepas, persoalan ‘kongsi raya’ ini telahpun dijelaskan kedudukannya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak yang mengeluarkan fatwa bahawa hukum mencampuradukkan perayaan Islam dengan perayaan kafir adalah haram[http://mufti.perak.gov.my/berita/berita041022-2.htm].



Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di Ipoh meminta kerajaan mengkaji semula beberapa amalan seperti perayaan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kajian semula itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik [Utusan 14/06/06]. Kenyataan Mufti Perak ini juga telah disiarkan di dalam akhbar The Star bertarikh 14 Jun 2006. Harussani juga meluahkan kebimbangannya tentang ancaman Pluralisme yang ada hubungkait dengan sambutan ‘kongsi raya’ ini.




Hukum Meraikan Perayaan Agama Lain




Sekiranya diteliti, kenyataan dan pandangan umum terhadap isu kongsi raya ini banyak disandarkan kepada aspek perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian antara golongan etnik berbeza agama di Malaysia. Sebelum perbincangan mengenai isu ini boleh diteruskan, realiti permasalahan ini perlu difahami terlebih dahulu. Perlu dijelaskan di sini bahawa bagi seorang Muslim, setiap perbuatan kita dipandu sepenuhnya oleh hukum syara’ dan adalah haram bagi kita untuk menjadikan rujukan selain Islam (termasuk pendapat yang tidak disandarkan kepada nas) dalam menentukan hukum bagi sesuatu perbuatan itu. Oleh itu, dalam membincangkan persoalan di atas, hanya pandangan dari Islam sahajalah yang wajib dijadikan sebagai rujukan dalam menentukan sikap kita terhadap isu ini.


Apa yang wajib kita fahami adalah, walau apa jua hukum yang datang dari Islam, sekiranya ia merupakan hukum yang diistinbat (diperoleh) melalui kefahaman yang benar dari Al-Quran, Sunnah, Qiyas mahupun Ijma’ Sahabat, maka ia pasti akan membawa kemaslahatan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Dari itu, sekiranya suatu perbuatan itu ‘diperbolehkan’ atas alasan yang datang dari perspektif pemikiran manusia, tanpa disandarkan kepada nas, seperti pemahaman manusiawi terhadap konsep kemaslahatan, keharmonian dan kesejahteraan, maka ia tidak boleh diterima di dalam Islam. Keharmonian dan kesejahteraan yang hakiki hanyalah dapat diperolehi dengan melakukan sesuatu perbuatan yang selari dengan kehendak Islam, bukannya kehendak manusia. http://selipeh.blog.friendster.com/2006/11/larangan-kongsiraya-dan-deeparaya/


Isu akidah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Manusia seharusnya mengikut lunas-lunas yang telah dijelaskan di dalam hukum hakam Islam dan bukannya hanya mengikut nafsu sendiri semata-mata. Niat di sini bukan hendak memporak-perandakan keadaan dengan menimbulkan isu perkauman pula. Tidak sama sekali tetapi agama Islam hendaklah dipertahankan agar kesuciannya pada masa akan datang tidak akan tercemar oleh masyarakat Islam sendiri.